Kaki Online kaki Online: Mimpi Mayat Timbul <-------

jom terjah entry minggu Ini

Saturday 17 March 2012

Mimpi Mayat Timbul <-------


IPOH: “Saya pernah bermimpi beberapa hari lalu melihat arwah berada dalam keadaan terapung-apung di permukaan empangan,” kata Robayah Yahya, 77, ibu kepada Jisfri Zainon, 45, mangsa lemas yang ditemui terapung di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini pagi semalam.
Mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa jatuh oleh seorang pekerja empangan berkenaan kira-kira jam 8.50 pagi semalam.

Arwah yang juga pekerja Metropolitan Utilities Corporation (MUC), disahkan lemas di empangan berkenaan pada 7 Mac lalu sebelum gerakan mencari dilakukan membabitkan pelbagai agensi keselamatan termasuk bantuan dari pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat mangsa terpaksa dihentikan pada hari kesembilan iaitu kelmarin selepas usaha menjejaki mangsa menemui jalan buntu sebelum mayatnya ditemui pagi semalam.

Robayah ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam berkata, dia tidak dapat menyembunyikan kesedihan ketika melihat jenazah anaknya, namun pada masa sama pasrah dengan apa yang berlaku.

Beliau berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak lelakinya itu pada cuti perayaan Tahun Baru Cina lalu, namun arwah tidak menunjukkan apa-apa perubahan sebaliknya cukup mesra dengan semua orang.


“Arwah cukup disenangi oleh semua orang disebabkan sikapnya yang peramah dan suka membantu.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat arwah,” katanya.

Sementara itu, abang arwah, Zainal Abidin Zainon, 51, berkata, sebaik mendapat berita kehilangan arwah, dia bersama ahli keluarga yang lain melakukan pelbagai usaha termasuk mengadakan doa selamat dan solat hajat. Beliau berkata, dia dimaklumkan mengenai berita penemuan mayat adiknya itu kira-kira jam 9.30 pagi semalam sebelum bergegas ke hospital.

“Kami bersyukur kerana doa kami sekeluarga dimakbulkan, sekali gus membawa kepada penemuan jasad arwah pagi ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, isteri arwah, Rosnah Supart, 45, ketika di temui di pekarangan Bilik Forensik HRPB semalam kelihatan sugul sambil menangis mengenangkan nasib menimpa suaminya.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk menemubualnya gagal disebabkan masih sedih dengan apa yang berlaku.

Jenazah Jisfri disolatkan Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan selepas solat Jumaat, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ipoh, Pegawai Bomba Tinggi, Zulkifli Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa kira-kira jam 8.50 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

1 comment:

 
Copyright © . All Right Reserved by Mohd Syawal