
“Inilah pengalaman paling indah terutamanya kembali ke Malaysia untuk bertemu peminat di sini yang sememangnya penuh tenaga. Saya sayang peminat di Malaysia,” kata bintang muda terkenal, Justin Bieber ketika bertemu Harian Metro secara eksklusif petang Sabtu lalu.
Kali kedua berada di Kuala Lumpur, fenomena Justin Bieber masih sama malah makin luar biasa apabila lebih lima belas ribu peminat berhimpun menyaksikan persembahannya.
Tidak hanya itu, kehadirannya kali ini lebih mengundang fanatik dikalangan peminat apabila bintang terkenal berusia 18 tahun itu berada di ibu kota sehari lebih awal memberi lebih masa buatnya bersiar-siar dan berhibur di sekitar Kuala Lumpur.
Meskipun masih membawa teman wanitanya juga penyanyi jelita, Salena Gomez, peminat bagai histeria sebaik mengetahui Bieber sudah tiba di Malaysia.
Menerusi twitter milik Bieber juga penganjur, MTV Malaysia, peminat tidak henti bertanya di mana lokasi bintang kegemaran mereka itu.
Menurut bintang kacak ini lagi, peminat di Malaysia jauh berbeza berbanding dari yang lain kerana mereka lebih gemar menjerit tanpa henti.
“Saya memang akan melayan peminat di twitter jika ada kelapangan sentiasa berkongsi apa-apa saja bersama mereka kerana itu adalah medium terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat. Pesanan yang saya terima dari mereka di twitter cukup membina dan memberi motivasi serta inspirasi.
“Malaysia umpamanya antara negara yang banyak menyokong kerjaya saya. Lantas saya sudah mengaturkan beberapa aktiviti yang akan membolehkan mereka untuk mendekati saya. Antaranya sesi bertemu peminat yang saya lakukan di majlis sidang media dan menghiburkan mereka dalam sebuah persembahan akustik yang istimewa.
“Kelakarnya mengenai peminat di sini, mereka akan menjerit walaupun ketika saya menyanyi. Tapi itulah kemeriahan yang ada dan saya sebagai penyanyi sentiasa menghargainya,” katanya yang diiktiraf sebagai artis yang paling bijak menggunakan medium laman sosial di Anugerah Billboard 2012 baru-baru ini.
Bieber sempat melayan peminat setianya di majlis sidang media pada petang Sabtu lalu dan berpeluang mendendangkan enam lagu secara akustik.
Malah, lebih menariknya, Bieber membuka ruang kepada peminat untuk bertanyakan soalan.
MTV World Stage 2012 pula, Bieber diletakkan sebagai pembuka tirai. Mula menggegarkan pentas seawal jam 6.35 petang dengan lagu yang memperkenalkan namanya, Baby dan kemudiannya Around The World, Bieber jelas mengubat kerinduan peminat.
Single baru dari album Believe berjudul As Long As You Love Me dinyanyikan sebelum konsep persembahannya ditukar kepada akustik. Hanya diiringi petikan gitar, Bieber menonjolkan permainan vokal menerusi lagu Die In My Arm, Be Alright dan One Time.
Bieber yang lincah menari dan begitu bertenaga sempat menyanyikan lagu Never Say Never sebelum mengakhiri persembahannya dengan lagu terbarunya, Boyfriend.
Hakikatnya, bintang muda terkenal ini tidak hanya bersandar pada wajah dan populariti sebaliknya dia punya kekuatan vokal yang mampu dibanggakan selain pesona yang cukup besar sebagai seorang anak seni.
Fenomena Bieber

